Thursday, January 13, 2011

Bencana Di Waha

Felda Simpang Waha dilanda ribut



KOTA TINGGI – Kira-kira 150 rumah penduduk rosak dalam sekelip mata akibat dipukul ribut dalam kejadian di Felda Simpang Waha di sini, petang semalam. 

ira-kira jam 3.50 petang itu, puluhan batang pokok tumbang dipukul ribut menyebabkan banyak rumah mengalami kerosakan teruk. Kejadian itu berlaku dalam tempoh lima minit dengan disertai kilat serta angin pusing. 

Bencana alam ini disifatkan sebagai kejadian paling teruk pernah berlaku dalam tempoh 25 tahun sejak tanah rancangan berkenaan diduduki. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang terkejut dengan kejadian itu turut berkesempatan melawat mangsa. 

Rasman berkata, kejadian tragis itu merupakan satu bencana paling buruk dialami penduduk di tanah rancangan itu kerana ia melibatkan beratus-ratus rumah peneroka yang kebanyakannya rosak teruk. 

Bagaimanapun Rasman bersyukur kerana kejadian dahsyat itu tidak melibatkan kehilangan nyawa serta kecederaan, tetapi hanya melibatkan kerosakan pada bahagian bumbung, dapur dan sebahagian kenderaan rosak. 

Menurutnya, selepas diberitahu mengenai kejadian itu, beliau melaporkan kepada Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebut untuk mengerahkan anggota dan pegawainya ke pondok polis berhampiran. 

Rasman menasihati penduduk supaya bersabar dengan kejadian itu dan ketua-ketua blok diminta untuk mengambil keterangan terhadap rumah mangsa ribut di setiap blok. 

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) juga akan meninjau rumah mangsa dan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban penduduk.

No comments:

Post a Comment